Tuesday, December 20, 2011

Ranjau Hidup Peneroka Felda

Bahagian 3.
Hari pertama Mula Bekerja

Selepas peristiwa itu saya menjadi takut hendak tidur semula. Saya terus duduk sambil memikirkan peristiwa tadi, apakah saya bermimpi? Tidak mungkin! Saya masih sedar dan masih belum tidur lagi. Saya bangun dan pergi ke bilik air untuk mencuci muka, selepas itu saya duduk semula di tempat tidur, kali ini saya tidur songsang, maksudnya, kaki saya bertentangan dengan kepala Siti dan kaki Siti bertentangan dengan kepala saya .

Saya masih rasa takut hendak memejamkan
mata, lagi pun saya tidak rasa mengantuk lagi. Saya terus memikir peristiwa itu, lembaga hitam seperti manusia lelaki berambut panjang hingga ke kaki, wajahnya tidak dapat saya lihat dengan jelas, tiba-tiba menerkam saya yang kaku seluruh tubuh. Tanah ini masih baru di bangunkan, asalnya hutan rimba yang pernah di diami berbagai makhluk misteri, berbagai jenis hidupan liar juga pernah tinggal di sini.


Setelah lama saya memikirkannya tiba-tiba telinga saya terdengar ayam hutan berkokok di belakang rumah saya menandakan hari akan siang. Dengan perlahan saya bangun dari tempat tidur menuju ke ruang dapur untuk memasak air. Pagi ini saya kena mula bekerja, seawal 6.00 pagi saya mesti berada di kawasan pejabat untuk daftar nama (Roll Coll), itu adalah syarat yang mesti di patuhi oleh setiap peserta tanah rancangan dalam syestem saham. Siti bangun sebelum air di dapur masak, Siti agak terkejut bila melihat saya bangun lebih awal darinya.

Dengan terhuyong-hayang Siti menuju ke bilik air untuk mencuci muka. “Awal abang bangun?”, Siti bertanya setelah selesai mencuci muka. “Awal sikit, sebab hari ni nak ke pejabat daftar nama sebelum masuk kerja”, jawab saya. “Oo ye, abang kena kerja hari ni, Ti lupa pulak”, kata Siti. Ceret air yang berada di atas tungku dapur gas mula mengeluarkan wab menandakan air sudah masak. Sementara menunggu Siti membuat air kopi, saya bersiap dengan pakaian kerja.

Anak-anak masih tidur lena tidak menyedari saya dan Siti sudah bangun dari tidur. “Bang, minum kopi dulu”, Siti memanggil dari ruang dapur. “Ye, abang datang”, jawab saya. Saya duduk bersila mengadap secawan kopi sambil melihat Siti mengemas-ngemas di dapur. Di luar masih gelap lagi tapi sudah kedengaran suara-suara jiran tetangga yang sibuk bersiap untuk ke pejabat, ada yang memanggil rakan mereka dari jalan mengajak jalan sama.

Jarak dari rumah saya ke pejabat lebih kurang 500 ke 600 meter. “Abang pergi dulu”, saya minta diri dari Siti setelah menghabiskan secawan kopi. “Ye bang, balik kerja pukul berapa?”, Siti bertanya. “Entah la, abang pun tak tahu lagi”, jawab saya sambil menuruni tangga pintu belakang dan terus menuju ke kereta mini saya. Saya menghidupkan injen kereta, sekali start sahaja walau pun kereta saya sudah buruk dan ketinggalan zaman.

Saya menuruni bukit dari rumah saya dan terus ke pejabat. Setibanya saya di pejabat, kelihatan sudah ramai peserta di situ menunggu pegawai memulakan tugas. Sudah menjadi kebiasaan, bila mula bertemu di tempat yang ramai, masing-masing berpandangan antara satu sama lain kerana masih belum mengenali antara satu sama lain tapi ada beberapa kumpulan 4-5 orang sedang berbual-bual, mungkin mereka itu rakan sekampung. Matahari belum menampakkan dirinya, samar-samar awal pagi saya berjalan melintasi orang ramai setelah keluar dari kereta yang saya tinggalkan di luar pagar kawasan pejabat untuk mencari kalau-kalau ada yang saya kenal terutamanya Said tapi Said tidak kelihatan mungkin masih belum sampai lagi agaknya.

Ramai yang memerhatikan gerak-geri saya ketika saya melintasi mereka, saya tijau satu persatu mencari kenalan yang sama-sama temuduga tempoh hari. “Nor, hang cari sapa?”, tiba kedengaran suara dari belakang memanggil nama saya. Langkah saya terhenti dan menoleh ke belakang. “Oo… Pak cik Juki ke!”, kata saya.

Saya mengenali Pak cik Juki ketika saya tinggal di kampung Perah suatu masa dahulu iaitu ketika umur saya 17 tahun, masa itu saya sering mandi di Sungai Perak berdekatan dengan rumah Pak cik Juki. Pak cik Juki dan isterinya baik dengan saya dan dengan ibu bapa saya. “Nor bila pindah sini?”, pertanyaan dari Pak cik Juki. “Semalam pindah”, jawab saya. “Pak cik bila pindah?”, saya mengajukan pertanyaan. “Dah 3 hari dok sini”, jawab Pak cik Juki. “Oo ye ke, jadi kita sama-sama mula kerja hari ni?”, kata saya. “Nampaknya gitulah”, jawab Pak cik Juki. “Rumah Nor kat mana?”, soal Pak cik Juki. “Tu kat hujung sekali, ikut simpang tu!”, jawab saya sambil menunjuk arah. “Gitu ka, rumah Pak cik kat simpang tu saja”, kata Pak cik Juki.

“Berkumpul semua, buat barisan!”, tiba-tiba suara salah seorang pegawai memberi arahan kepada semua peserta. “Petang-petang ada masa datang la ke rumah, kita sembang-sembang”, kata Pak cik Juki sambil berjalan perlahan beriringan untuk membuat barisan. “Tengok la, kalau ada masa lapang”, jawab saya sambil membuat barisan, saya berada di belakang Pak cik Juki. Semua peserta tanah rancangan mendengar dengan teliti taklimat daripada pengurus rancangan tentang peraturan yang mesti di patuhi oleh semua peserta.

Setelah selesai taklimat daripada pengurus, pegawai pula memberi arahan tentang kerja harian yang di bahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu 20-25 orang untuk satu kumpulan. Tugas pertama kumpulan saya pada hari itu ialah mencabut lalang di dalam kawasan ladang getah. Masa itu kumpulan saya kebanyakkannya tidak mempunyai kenderaan (Motor) jadi kami semua terpaksa berjalan kaki untuk ke ladang yang jaraknya 3 hingga 4 km dengan membawa cangkul dan cangkul mata 3.

Bila di ingatkan semula peristiwa itu ada seronoknya sebab bila sudah ramai orang maka berbagailah ragamnya, ada yang kelakar membuatkan kami semua rasa terhibur. Setiap kumpulan akan di awasi oleh seorang pegawai yang memberi arahan untuk kerja-kerja pada hari itu. Kerja mencabut lalang beramai-ramai tidak membosankan kerana sering berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain, ini di sebabkan keluasan rumpun lalang di ladang pokok getah antara 30-40 meter persegi. Lalang perlu di cangkul untuk mengeluarkan akarnya dan di himpun di satu tempat. Dari situ jugalah saya dapat berkenalan antara satu sama lain, dari mana asal mereka, apa bangsa keturunan mereka cuma nama-nama mereka yang masih belum hafal dan sering terlupa.

Bagi mereka pula nama saya tidak di sebut sebaliknya nama bapa saya yang sering mereka sebut jika mereka memanggil saya, saya tetap menjawab dengan panggilan itu dengan hati gembira. Begitulah permulaannya saya dan kumpulan saya bekerja dengan pendapatan RM7.00 sehari dari 6.00 pagi hingga jam 1.30 tengah hari. Jam 1.00 tengah hari kami berkumpul di ladang untuk mendaftar tamat kerja, kemudian kami beramai-ramai berjalan pulang. Setelah tiba di rumah, saya rehat seketika untuk menghilangkan rasa penat dan panas, kemudian saya makan tengah hari ketika jam sudah menunjukkan hampir 2:30 petang. Selepas makan saya membawa anak dan isteri ke sungai untuk mandi dan mencuci pakaian. Seperti sebelumnya, keadaan di sungai sentiasa di penuhi orang untuk mandi dan mencuci pakaian dengan rioh rendah suara-suara mereka, berbegai gelagat dan kerenah. Setelah selesai saya membawa anak dan isteri pulang ke rumah.

Matahari membakar dengan kuat hinggakan bahangnya terasa amat panas sekali, angin yang bertiup sedikit kencang menerbangkan debu-debu dari jalan yang masih belum di turap tar lagi ketika motor melintasi depan rumah saya. Kelihatan Siti menjemur pakaian yang baru di cuci di sungai tadi, satu persatu di hidai di atas tempat jemuran. Saya duduk di tangga sambil memerhatikan Siti yang sedang menyidai pakaian di halaman rumah. Kandungan Siti semakin sarat nampaknya, mungkin sebulan dua lagi akan melahirkan cahaya mata yang ke 4. Siti naik ke rumah setelah siap menyidai pakaian, terus ke bilik. Saya masih termenung di tangga memandang jauh ke hadapan. "Bolehkah saya bertahan di tanah rancangan ini?", bisik hati kecil saya.

Bersambung akan datang


No comments:

Post a Comment