Assalam’mualaikum…
Di kala
peneroka mempunyai hasil dari kebun getah dahulu, dari RM2,000 ke RM5,000 dan ada yang memiliki
pendapatan sehingga RM8,000 sebulan (bergantung kepada jumlah dirian pokok
getah di dalam lot pemiliknya, antara 1,800 ke 2,200 pokok untuk 10 ekar)
memandangkan harga getah yang semakin baik masa itu. Di kala itu ramai peneroka
mampu membaiki atau mengubahsuai rumah mereka tapi jumlahnya tidak ramai.
Kebanyakkan
peneroka masih mengekalkan rumah asal dengan menyambung di bahagian belakang
dan tepi rumah asal, seperti rumah saya. Ini kerana pendapatan rendah
termasuklah saya masa itu bawah RM3,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan
harian dan tanggungan anak-anak yang masih bersekolah masa itu, lagi pun saya
mendapat lot yang kurang dirian pokok iaitu 540 untuk 10 ekar. Tanpa di minta,
saya di berikan lot tambahan yang mempunyai dirian pokok 620 dengan keluasan 10
ekar dengan bersyarat, saya mesti menjaga kebersihan lot tambahan sehingga
pokok getah itu di tebang untuk di tanam semula.
Masa itu saya agak sibuk sedikit berbanding dengan
rakan-rakan saya yang boleh bersenang-senang di kedai kopi setiap petang. Saya
perlu menjaga kebersihan 20 ekar (10 ekar lot saya dan 10 ekar lot tambahan) 4
ke 5 kali seminggu pada setiap petang dan pagi jika tidak menoreh. Jika saya
gagal menjaga kebersehan kebun pasti lot tambahan akan di ambil semula dan di
berikan kepada orang lain. Lebih dari 13 tahun saya bertungkus-lumus menjaga
kebersihan 2 lot kebun tersebut, selepas itu saya tidak mampu lagi kerana saya
mula sibuk dengan hal-hal luar.
Akhirnya
lot tambahan saya mula di naiki semak samun dan saya menjangkakan kemungkinan
lot tambahan saya itu akan di ambil semula. Tapi, Alhamdulillah, lot tambahan
saya itu masih milik saya sehingga pokok getah di tebang untuk tanam semula.
Kini
semua peneroka tidak mempunyai pendapatan dari hasil kebun kerana secara
keseluruhannya lot peneroka telah di tebang dan dalam proses tanam semula.
Semua peneroka cuma mendapat pendapatan bulanan pinjaman sara hidup sebanyak
RM1,200. Setelah di tolak potongan serba-serbi badan-badan maka kami mendapat
sekitar RM1,125.00.
Dengan
baki pendapatan sebanyak itu saya perlu membayar semua keperluan seperti
bil-bil, hutang piutang, bayaran bulanan kereta dan sebagainya. Saya bernasib
baik sedikit dari rakan-rakan saya kerana saya tidak ada anak yang bersekolah
lagi, (6 orang anak sudah dewasa), bayaran bulanan kereta yang rendah cuma
RM350.00 berbanding dengan rakan-rakan saya yang menanggung bulanan kereta RM600.00
ke atas.
Memandangkan kos sara hidup hari ini (2011) tentulah
tidak mencukupi dengan pendapatan sara hidup RM1,125.00 sebulan itu. Untuk menambah
pendapatan, saya perlu bekerja jika ada peluang. Usia saya sudah menjangkau 53
tahun, Alhamdulillah saya masih sihat dan mampu bekerja lagi. Sudah menjadi
prinsip hidup saya, iaitu suka bekerja sendiri dari bekerja di bawah arahan
orang. Pada mulanya, iaitu di tahun pertama menerima bayaran sara hidup
sebanyak RM800.00, saya mencuba bekerja sebagai pembantu tukang rumah di
kawasan kampung tapi cuma bertahan selama 3 bulan sahaja.
Suatu hari selepas hari raya Aidil Fitri (2011) yang
lalu, saya mendapat tawaran kerja menoreh getah daripada adik ipar saya yang
tinggal di kawasan Gerik (lebih kurang 30 km dari rumah saya) tanpa ada apa-apa
alasan saya menerima dengan senang hati, maka bermulalah kerja menoreh getah
dengan cara berulang alik setiap hari.
Walau
pun pendapatannya tidak seberapa tapi sudah cukup untuk menampung perbelanjaan
harian saya dan keluarga. Hasil dari pendapatan itu di bahagi 2 antara saya dan
pemilik kebun. Buat masa ini (12/2011) harga getah masih berada di paras rendah
iaitu Rm4.10 sekilogram berbanding di awal mula menoreh (10/2011) dengan harga
RM6.10 sekg (harga tidak potong basah).
Sekitar
jam 2.00 petang saya dan isteri sudah berada di rumah iaitu pulang dari menoreh
getah, selesai makan tengah hari, saya berehat seketika (tidur) hingga jam 5.00
petang, kemudian saya mulakan kerja-kerja di depan komputer hingga jam 12.00
tengah malam dan kadang-kadang terlajak hingga jam 3.00 pagi.
Sejak
saya mula mengenali komputer dan internet 4 tahun yang lalu, saya suka membuat
kerja-kerja yang boleh mendapatkan wang dari internet walau pun ciput-ciput
tapi ianya menyeronokkan. Saya mula membuat blog sendiri untuk mempromosikan
perniagaan saya di internet yang kini berjumlah 13 blog dan yang aktif adalah10
blog.
Selain itu saya juga membuat
peniagaan affiliate di internet secara sambilan. Perniagaan seperti itu tidak memerlukan modal wang cuma modal usaha sahaja
sebab itulah pendapatannya ciput-ciput tapi adakalanya ia berbaloi.
Sekian
dahulu buat masa ini, Insyaallah saya akan kongsikan lagi pengalaman menambah
pendapatan di internet di masa akan datang.
Dari saya seorang peneroka,
Mohd.Nor.
No comments:
Post a Comment